Tuesday, November 11, 2008
ikan puyu hapus aedes
Puyu Hapus Aedes Di Parit MELAKA - Lebih 100 ikan puyu dilepaskan ke dalam parit di Taman Seri Duyong Fasa Dua, dekat sini yang dikesan sebagai tempat pembiakan nyamuk aedes. Pelepasan ikan puyu itu dijangka memusnahkan jentik-jentik yang dihasilkan nyamuk berkenaan. Ikan puyu itu dilepaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Duyong, Gan Tian Loo, di parit berkenaan, baru-baru ini. Gan berkata, pelepasan puyu ke dalam parit sepanjang hampir 500 meter itu dilakukan sebagai usaha berterusan menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk aedes. Katanya, walaupun parit itu dibina dua bulan lalu, ia dipenuhi sampah-sarap selain permukaannya juga tidak rata dan menyebabkan airnya mengalir tidak sempurna. Beliau berkata, jika keadaan parit itu dibiarkan, ia dikhuatiri membolehkan nyamuk aedes bertelur dan menyebabkan deman denggi di kawasan sekitarnya. "Untuk peringkat permulaan kita melepaskan lebih 100 puyu ke dalam parit dengan harapan ikan itu makan jentik-jentik di dalamnya. "Saya lihat banyak jentik-jentik di dalam parit ini dan dalam masa terdekat, kita mengambil langkah lain termasuk semburan kabus untuk menghapuskan tempat pembiakannya," katanya. Sentral difahamkan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menjalankan gotong-royong untuk membersihkan parit itu. Selain itu, Gan berkata, sampah-sarap di dalam parit itu datang dari sekitar taman perumahan termasuk kampung berdekatan. "Saya berharap penduduk terutama peniaga sama-sama menjaga kebersihan parit ini dengan tidak membuang sisa pepejal atau sampah-sarap termasuk plastik dan sebagainya," katanya. Petikan dari Berita Harian, Isnin, 14 Februari 2005
Labels:
story
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment