Wednesday, November 19, 2008

anak ke 2 nabi ibrahim


Nabi Ishak lahir ketika ibunya lanjut usia
NABI ISHAK, anak kedua Nabi Ibrahim daripada perkahwinannya dengan Sarah adalah seorang anak yang soleh. Perkataan Ishak berasal daripada bahasa Ibrani, iaitu Yashhak. Ia diistilahkan demikian kerana ibunya tertawa bersendirian apabila mengetahui dia bakal melahirkan anak.
Nabi Ishak dilahirkan ketika ibunya berusia 90 tahun, manakala bapanya 100 tahun. Ini disebabkan Sarah sebelum itu mandul dan kelahiran Ishak terlalu lama jaraknya dengan kelahiran Ismail oleh ibunya, Hajar. Jadi, tidak hairan Sarah tertawa bersendirian kerana gembira apabila diberitahu malaikat dia bakal melahirkan anak.
Jika keturunan Nabi Ismail melahirkan bangsa Arab Musta’ribah, keturunan Nabi Ishak pula melahirkan Bani Israel. Bermula daripada anaknya, Yaakub, muncul ramai nabi dari kalangan Bani Israel. Firman Allah: “Dan Kami jadikan kenabian dan al-Kitab pada keturunannya.”
Ishak adalah seorang yang soleh. Keberkatannya dikhususkan Allah seperti keberkatan pada bapanya, Nabi Ibrahim. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) Ishak, seorang nabi yang termasuk orang soleh. Kami limpahkan keberkatan atasnya dan atas Ishak dan antara cucunya ada yang berbuat baik dan ada yang zalim terhadap dirinya sendiri dengan nyata.”
Allah menghuraikan kebijaksanaan Ibrahim, anaknya, Ishak dan cucunya, Yaakub dalam firmannya: “Dan ingatlah hamba Kami bahawa Ibrahim, Ishak dan Yaakub mempunyai perbuatan besar dan ilmu yang tinggi. Sesungguhnya Kami telah menyucikan mereka dengan (menganugerahkan mereka) akhlak tinggi, iaitu sentiasa mengingatkan (manusia) kepada akhirat. Dan mereka pada sisi Kami benar-benar termasuk orang pilihan yang paling baik.”
Kenabian Ishak juga dijelaskan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadanya sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi yang kemudiannya. Dan Kami telah memberikan wahyu kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anakcucunya, Isa, Yunus, Harun, Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud.”
Al-Quran tidak menjelaskan mengenai Nabi Ishak secara khusus. Namun menurut riwayat, pada saat Nabi Ibrahim hampir menemui ajal, Nabi Ishak mahu berkahwin. Tetapi Nabi Ibrahim tidak mahu Ishak berkahwin dengan wanita Kan’an kerana mereka tidak mengenali Allah.
Bapanya kemudian mengutuskan seorang hamba untuk melamar gadis di Hanan (Iraq). Gadis yang dipilih bernama Rifqah binti Bitauel bin Nahur. Nahur adalah saudara Nabi Ibrahim, manakala Rifqah adalah cucu saudaranya.
Genap 10 tahun perkahwinan mereka, Ishak dikurniakan dua anak lelaki, iaitu ‘Iso (dalam bahasa Arab disebut Al-Ish) dan Yaakub. Ishak lebih menyayangi Al-Ish daripada Yaakub kerana berasa tidak senang berikutan Rifqah menyayangi Yaakub.
Ishak selalu meminta Al-Ish menghidangkan makanan untuknya, namun pada satu ketika Rifqah meminta Yaakub terlebih dulu menghidangkan makanan. Kemudian Ishak terus makan dan mendoakan kebaikan untuk Yaakub. Al-Ish yang nampak keadaan itu lantas memarahi Yaakub, lalu mengugut saudaranya itu.
Rifqah yang melihat kejadian itu meminta kebenaran Ishak untuk menyuruh Yaakub pergi ke rumah saudaranya bernama Laban di kawasan Haron, Iraq. Ini bertujuan supaya Yaakub akhirnya tinggal di sana dan berkahwin dengan anak saudaranya. Setiba di Haron, Yaakub menghambakan diri kepada ibu saudaranya itu.
Dia ingin berkahwin dengan anak gadis ibu saudaranya yang bernama Rahil. Tetapi bapa saudaranya mahu mengahwinkannya dengan Lai’ah, iaitu kakak kepada Rahil.
Yaakub berkata: “Saya hanya mahu berkahwin dengan Rahil, puteri pak cik yang lebih cantik berbanding kakaknya.” Bapa saudaranya berkata: “Menurut kebiasaan, kami tidak memperkenankan perkahwinan anak yang lebih muda mendahului kakaknya. Jika kamu mahukan adiknya, kamu perlu bekerja lagi selama tujuh tahun.”
Bagaimanapun, akhirnya Yaakub mengahwini kedua-dua anak bapa saudaranya itu (syariat yang diizinkan ketika itu). Yaakub tinggal selama 20 tahun bersama ibu dan bapa saudaranya sebelum kembali ke pangkuan keluarganya di Kan’an (Palestin). Yaakub berasa kepulangan akan dihalang saudaranya, Al-Ish.
Bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, Yaakub mengutuskan anaknya supaya memberikan hadiah kepada Al-Ish, sekaligus menggembirakannya. Al-Ish mengosongkan kediamannya kepada Yaakub, manakala dia sendiri berpindah ke gunung Sya’ir.
Yaakub terus berada di samping bapanya. Selepas itu, Nabi Ishak memberikan tempat tinggal di Habrun kepada Yaakub. Kawasan itu kemudian dipanggil Al-Halil.
Ahli sejarah menjelaskan nama Yaakub digunakan sebagai perkataan Israel. Isra membawa erti hamba, kesucian, manusia atau muhajir, manakala el bererti Allah. Jadi, Israel adalah merujuk kepada hamba daripada kesucian Allah.
Nabi Ishak yang wafat ketika berusia 180 tahun dikebumikan di Jirun (kini Madinah). Ada juga mengatakan nabi Ishak disemadikan di al-Mughirah, tempat bapanya dikebumikan.
Dikirim dalam Kisah Rasul

No comments: